Spina Bifida di kalangan Bayi

SPINA BIFIDA DI KALANGAN BAYI
.
Spina bifida merupakan salah satu jenis kecacatan sejak lahir. Perkara ini berlaku kerana tulang belakang yang tidak terbentuk secara normal, menyebabkan saraf tunjang terkeluar atau terdedah.
.
Bagi memahami keadaan ini, kita perlu terlebih dahulu memahami bagaimana tulang belakang kita terbentuk semasa janin (“embryological development”). Dalam kandungan yang normal, perkembangan otak, saraf tunjang serta struktur berdekatan seperti tulang belakang bermula daripada pembentukan tiub neural.
.
Bahagian atas tiub akan membentuk otak dan selainnya menjadi saraf tunjang (“central nervous system”). Kebiasaannya, penutupan tiub neural ini akan terjadi pada minggu ke empat kandungan/ hari ke 28. Sekiranya tiub neural ini tidak tertutup, tulang belakang tidak dapat bercantum dengan sempurna dan menyebabkan saraf tunjang yang terdedah. Lalu, spina bifida berlaku terutamanya pada bahagian bawah tulang belakang.
.
Jenis-jenis Spina Bifida
.
1. Spina Bifida Occulta
.
• Terdapat hanya sedikit jurang pada bahagian tulang belakang.
• Saraf tunjang tidak terkeluar atau terjejas.
• Kebiasaannya, tiada kecacatan yang berlaku.
.
2. Meningocoele
.
Lapisan luaran saraf tunjang yang dinamakan “meninges” terkeluar melalui jurang antara tulang belakang yang terbuka. Namun begitu, saraf tunjang kekal di posisinya.
.
3. Meningomyelocoele
.
• Keadaan yang paling parah di mana tulang belakang tidak bercantum di beberapa bahagian.

• Hal ini menyebabkan lapisan meninges terkeluar menjadi sebuah kantung berisikan sebahagian saraf tunjang, cecair serebrospina, meninges dan akar saraf.

• Perkara ini merosakkan saraf dan mendedahkan bayi kepada jangkitan kuman.
.
Keadaan pesakit bergantung kepada keterukan jenis yang dialami. Sebahagian bayi tidak menunjukkan apa-apa tanda. Bagi kanak-kanak yang mengalami jenis yang sederhana, mereka perlu mendapatkan rawatan yang sepatutnya. Manakala bagi bayi yang dilahirkan dengan spina bifida yang teruk dan melibatkan saraf tunjang yang atas, ada kemungkinan bayi tersebut tidak dapat meneruskan kehidupan.
.
Punca Berlakunya Spina Bifida
.
1. Faktor genetik
.
Pasangan yang mempunyai anak sebelumnya yang mengalami masalah ini lebih cenderung untuk melahirkan anak lain dengan keadaan yang sama.
.
2. Faktor persekitaran
.
• Kekurangan asid folik sebelum dan semasa awal kandungan
• Pengambilan ubebeberapa jenis ubat
• Diabetes yang tidak terkawal.
• Obesiti.
.
Bagi menentukan bayi itu mengalami masalah ini, beberapa penyiasatan boleh dilakukan untuk mengesahkannya. Ia terbahagi kepada:
.
Semasa dalam kandungan:
.
• Ujian darah: Mengukur tahap Alpha-fetoprotein (AFP) dalam darah ibu mengandung.
• “Ultrasonogrpahy”: Bagi melihat pembentukan tulang belakang bayi.
• “Amniocentesis”: Mengukur tahap AFP dalam air ketuban.
.
Selepas lahir:
.
• Benjolan di bahagian belakang badan bayi.
• Penonjolan saraf tunjang atau meninges melalui ruang pembukaan di tulang belakang.
• Ukur lilit kepala yang besar (“hydrocephalus”).
• Bagi kes spina bifida occulta, perubahan warna kulit, lekok, ketulan tisu lemak yang lembut atau tompokan rerambut akan dapat dilihat pada bahagian belakang.
• X-ray dan MRI.
.
Komplikasi
.
Masalah ini boleh menyebabkan beberapa komplikasi iaitu:
.
1. Kerosakan pada saraf tunjang boleh mengakibatkan sakit belakang, hilang kawalan buangan air kecil atau besar, serta kelemahan atau kelumpuhan kaki.

2. Hydrocephalus berlaku menyebabkan pengumpulan cecair dalam otak sekaligus melakukan kerosakan pada otak bayi.

3. Masalah jangkitan kuman seperti jangkitan pada meninges (“meningitis”).

4. Masalah tulang seperti “scoliosis” iaitu tulang belakang membongkok.
.
Rawatan dan Pencegahan
.
Tiada rawatan khusus bagi memulihkan kerosakan pada saraf yang berpunca daripada spina bifida. Namun begitu, pembedahan boleh dilakukan selepas kelahiran bayi dalam jangka masa 48 jam.
.
Hal ini bagi mengurangkan risiko jangkitan kuman dengan memasukkan semula saraf tunjang dan meninges yang terkeluar. Jika didapati bayi mengalami hydrocephalus, cecair berlebihan yang berkumpul di otak akan dialihkan ke abdomen melalui saluran lain yang dibuat. Selain itu, segala jangkitan kuman perlu dirawat dengan kadar segera.
.
Bagi mengurangkan kadar kelahiran bayi spina bifida, pencegahan awal boleh dilakukan dengan mengambil pemberian tambahan asid folik sebanyak 0.4mg sehari sebelum mengandung sehingga tiga bulan pertama kandungan. Untuk pasangan yang mempunyai anak yang menghidapi spina bifida, kaunseling akan diberikan kerana risiko yang bertambah tinggi untuk kelahiran yang seterusnya.
.

wasap.my/60197555392

kaykacip.com
#HealthDrZubaidi

Image may contain: one or more people, people sleeping, baby and closeup

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *