Masaalah jantung Wanita

Petikan daripada rencana harian metro. Semoga ia memberi manafaat kepada kita semua.  🙂

Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Peningkatan ritma jantung melebihi kadar normal antara 60 hingga 100 kali seminit, seiring dengan tahap kelajuan dan kepantasan aktiviti sukan dilakukan membuktikan kesihatan jantung individu berada di peringkat cemerlang.

Malah, ia juga normal jika anda berasakan kadar degupan jantung kian meningkat ketika menyaksikan adegan filem seram yang penuh dengan kejutan.

Tetapi dalam keadaan santai tanpa melakukan apa-apa aktiviti, pernahkah anda mengalami situasi jantung berdebar-debar?

Jika pernah, ini mungkin satu daripada penanda wujud masalah kesihatan jantung yang tidak anda sedari sebelum ini.

Menurut pakar perunding kardiologi, Prof Madya Dr Sazzli Shahlan Kasim, wanita muda dikategorikan berusia antara 20 hingga 45 tahun antara golongan yang kerap mengalami masalah jantung berdebar-debar.

JANTUNG berdebar-debar sering dialami wanita berusia 20 hingga 45 tahun.

“Penyakit jantung dikaitkan dengan saluran darah tersumbat hingga mengakibatkan serangan jantung sering berlaku terhadap golongan lelaki serta kelompok wanita berusia melalui menopaus, berbanding wanita muda.

“Risiko bagi wanita muda mendapat serangan sakit jantung seperti ini adalah rendah. Hanya satu hingga dua peratus wanita muda mengalami masalah ini.

“Ada pelbagai jenis keadaan penyakit jantung, namun paling digusarkan adalah saluran arteri dalam darah tersumbat hingga mengakibatkan organ berkenaan rosak.

“Menyentuh isu jantung berdebar-debar, wanita muda akan mudah berasa cemas, sesak nafas, terasa dada mencucuk-cucuk hingga membuatkan mereka sukar tidur pada waktu malam.

“Umumnya, semua gejala ini berpunca daripada elemen stres dan gaya hidup tidak sihat seperti kurang tidur dan senaman yang mendorong kepada pengeluaran hormon tidak stabil.

“Jika wanita gagal menangani tekanan atau mengubah gaya hidup, ini membolehkan wanita berisiko mendapat penyakit lain seperti darah tinggi, kolesterol tinggi dan diabetes yang mengakibatkan saluran darah senang tersumbat selepas mereka berusia 45 tahun.

“Selain faktor ini, masalah jantung berdebar-debar disebabkan kebocoran injap dalam organ jantung dan nadi yang tidak seragam,” katanya ketika ditemui.

DR Sazzli.

Jelasnya, masalah jantung berdebar-debar adalah perkara normal jika individu mengalami perasaan takut, bimbang dan sebagainya, namun penting untuk kita mengenal pasti bilakah keadaan itu berlaku.

Dr Sazzli berkata, seandainya jantung berdebar-debar ketika melakukan aktiviti, berasa takut, teruja mahupun dalam keadaan stres, ia adalah perkara biasa, jika sebaliknya, jantung dikategorikan tidak normal.

“Situasi jantung berdebar-debar kadang-kadang boleh berpunca daripada elemen litar pintas pada jantung.

“Ini bermaksud jantung berkenaan mempunyai kadar denyutan lebih tinggi dan laju mencecah atau melebihi 110 kali seminit tanpa kita melakukan apa-apa pergerakan.

“Selepas menganalisis ketiadaan faktor stres, pengambilan kopi berlebihan atau kurang tidur.

“Saya menyarankan supaya wanita bertemu doktor kerana dibimbangi ada saraf dalam jantung yang mengalami litar pintas.

“Dalam jantung manusia ada sistem saraf yang berfungsi mengalirkan elektrik untuk menghasilkan denyutan.

“Kadang-kadang sistem saraf itu boleh terpintas, seterusnya membuatkan ritma jantung bertukar laju.

“Selain litar pintas dalam sistem saraf, gangguan denyutan jantung ini juga boleh berlaku hormon tiroid terhasil daripada kelenjar tiroid yang terletak di bahagian depan leher.

“Hormon ini berfungsi mengawal kadar perjalanan kebanyakan fungsi badan, metabolisme.

“Masalah tiroid yang mendorong kepada jantung berdebar-debar terbahagi kepada hipertiroid (terlebih aktif) dan hipotiroid (kurang aktif) terjadi akibat jangkitan virus dan faktor genetik.

“Gejala hipertiroid seperti tapak tangan berpeluh, kadar nadi yang laju, mudah rasa gementar, sering berasa panas dan bertubuh kurus, manakala hipotiroid pula bertentangan.

“Selalunya masalah hormon tiroid ini boleh dikenal pasti menerusi ujian darah dan kaedah rawatannya adalah dengan pengambilan ubatan.

“Sekiranya pesakit mengabaikan rawatan, kadar denyutan jantung yang laju boleh membuatkan jantung menjadi bengkak sekali gus melemahkan organ berkenaan.

“Hampir lima hingga 10 peratus penghidap hipertiroid mengalami masalah lemah jantung,” ujarnya.

STRES boleh menyebabkan masalah jantung berdebar-debar.

Menyenaraikan wanita hamil turut mengalami gangguan ritma jantung berdebar-debar, Dr Sazzli berkata, masalah jantung dialami bakal ibu berlaku gara-gara pertambahan berat badan hingga membuatkan golongan ini berasa mengah dan kaki menjadi bengkak.

Dianggarkan hanya satu hingga dua peratus daripada wanita hamil terdedah kepada risiko masalah jantung berdebar-debar, beliau mengakui ia berpunca daripada dua keadaan iaitu reaksi jantung pada kehamilan dan saluran darah jantung terkoyak secara tiba-tiba.

Reaksi jantung pada kehamilan merangkumi rasa sesak nafas dan kaki bengkak kronik yang selalunya berlaku pada fasa enam bulan ke atas kehamilan hingga enam bulan selepas kelahiran bayi.

“Sepanjang tempoh hamil, secara semula jadi, tubuh wanita hamil menghasilkan lebih banyak hormon yang berfungsi membantu melonggarkan ligamen tertentu termasuk bahagian punggung bagi mempermudahkan proses bersalin.

“Penghasilan hormon yang banyak ini juga mampu melemahkan saluran arteri jantung seterusnya membuatkannya terkoyak dan menghalang bekalan darah yang sempurna ke jantung.

“Meskipun kes ini jarang berlaku, keselamatan nyawa ibu boleh terancam sekiranya ia tidak dipantau atau diberi rawatan sewajarnya,” katanya.

Menurutnya, wanita muda yang juga pesakit kanser payudara terutamanya, tidak terkecuali berdepan risiko mengalami masalah jantung berdebar-debar gara-gara lemah jantung.

Kemajuan rawatan kanser payudara terkini mampu menyelamatkan banyak nyawa malah tidak semua pesakit perlu ‘membuang’ aset dengan menjalani rawatan kemoterapi.

Katanya, meskipun pengambilan ubatan spesifik bertujuan merawat kanser, ia turut meninggalkan kesan sampingan terutama terhadap jantung dalam tempoh panjang.

Jelas Dr Sazzli, dalam situasi seperti ini, pakar perubatan selalunya melakukan ujian terhadap kelangsungan hidup pesakit kanser yang mengambil ubatan khusus, jika ia memberi impak negatif hingga membuatkan jantung lemah, pemberian ubatan itu akan dihentikan atau ditukar kepada jenis yang lain.

KAKI bengkak kronik petunjuk masalah gangguan jantung.

Boleh whatsaap saya or pm / dm saya 0197555392  🙂 
untuk dapatkan Olive Oil 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *