Vitamin E Daripada Minyak Sawit

Vitamin E dari minyak sawit adalah pelindung saraf.

Selain dari vitamin B kompleks, vitamin E juga terbaik pesakit saraf akibat diabetis.

https://www.bharian.com.my/node/54096

https://www.bharian.com.my/node/54096?fbclid=IwAR1ZkLDD_SqYwHTTCkv5ePO9uOGhgtsd42AncL3K_0-4HqdJz2F1I7UO5Gc

TOKOTRIENOL adalah sebahagian daripada keluarga vitamin E. Keluarga vitamin E terdiri daripada empat isomer tokoferol dan empat isomer tokotrienol, iaitu alfa ( a ), beta ( ß ) , gamma ( ?) dan delta ( d ).

Bagaimanapun, sepanjang 30 tahun lalu, tidak banyak kajian vitamin E tertumpu kepada tokotrienol meskipun ia adalah separuh daripada keseluruhan keluarga vitamin E. Hanya beberapa tahun kebelakangan ini, satu perkembangan positif berlaku apabila penyelidikan tokotrienol mula mendapat perhatian selepas menunjukkan potensi dari segi kesihatan.

Tokotrienol mempunyai struktur dan fungsi biologi berbeza daripada tokoferol. Ia juga tidak mudah didapati seperti tokoferol yang wujud secara semula jadi dalam kebanyakan minyak sayuran.

Tokotrienol hanya boleh didapati daripada sumber tumbuhan tertentu. Ia adalah komponen kecil dalam tumbuh-tumbuhan dan boleh diperoleh daripada bijirin seperti bran beras, barli, rai dan germa gandum. Untuk minyak pula, hanya beberapa minyak terpilih seperti minyak sawit dan minyak bran beras mengandungi tokotrienol.

Minyak sawit yang diekstrak daripada buah Elaeis guineensis adalah antara sumber asli vitamin E yang banyak, dengan komposisi kira-kira 30 peratus tokoferol dan selebihnya adalah tokotrienol. Minyak sawit memiliki kandungan tokotrienol yang tertinggi di kalangan tumbuh-tumbuhan selain minyak bran beras. Minyak sawit mentah boleh mengandungi tokotrienol setinggi 550mg/kg.

Tokotrienol adalah antioksidan yang lebih unggul berbanding tokoferol. Ia dapat menembusi ke dalam tisu lapisan lemak tepu dengan lebih berkesan. Ini bermakna ia boleh melekat pada bahagian dalam membran sel dan melakukan aktiviti antioksidannya. Kajian juga melaporkan bahawa tokotrienol adalah antioksidan yang 40 hingga 60 kali lebih kuat daripada tokoferol.

Pelbagai penyelidikan dijalankan di seluruh dunia untuk menunjukkan pelbagai sifat tokotrienol sawit dalam membantu kesihatan manusia.

Kesan perlindungan kardio

Tokotrienol menunjukkan keupayaan melindungi jantung. Antara kajian diterbitkan melaporkan keupayaan tokotrienol memulihkan arteri yang tersumbat dengan mengurangkan jumlah endapan kolesterol dalam arteri karotid. Tokotrienol juga membantu merendahkan kolesterol.

Kesihatan kulit

Tahap aktiviti antioksidan yang tinggi membolehkan tokotrienol diserap dengan cepat dan menembusi lapisan dalam kulit manusia. Bila dimakan atau disapu, seseorang dapat memiliki kulit yang sihat kerana mendapat perlindungan kesan negatif seperti kanser yang berpunca daripada pancaran UV melanoma dan kesan penyakit kulit lain.

Kebaikan antioksidan inilah yang menyebabkan tokotrienol kini digunakan secara meluas dalam banyak rumusan untuk pembuatan produk kosmetik dan dermatologi.

Ciri antikanser

Tokotrienol mempunyai ciri anti-kanser yang tidak ditunjukkan antioksidan lain. Ia bukan saja boleh membantu mencegah kanser tetapi mempunyai keupayaan menghalang pertumbuhan sel kanser dan memulakan apoptosis.

Apoptosis adalah satu proses di mana sel kanser membunuh diri. Menariknya, tokotrienol hanya mendorong kematian sel kanser tertentu sambil mengekalkan sel sihat lain. Keupayaan ini tidak terdapat di dalam tokoferol. Keberkesanan tokotrienol dalam menghalang pertumbuhan sel kanser dikaji secara meluas bagi pelbagai sel kanser seperti payudara, prostat dan pankreas.

Pelindung saraf semula jadi

Tokotrienol adalah pelindung saraf yang kuat dan dapat melindungi kematian sel saraf. Pada dos yang rendah, tokotrienol dilaporkan dapat memberi perlindungan terhadap otak dari diserang strok. Hanya tokotrienol dan bukan tokoferol yang dapat melindungi sel saraf dari penyakit disebabkan tahap antioksidannya yang lebih berkuasa.

Tokotrienol sememangnya adalah keluarga vitamin E yang sangat penting. Ia boleh didapati dengan banyaknya daripada minyak sawit dan dianggap sebagai sumber semula jadi yang paling berpotensi untuk meningkatkan kesihatan manusia dan mencegah penyakit.

Minyak sawit juga mempunyai sejarah penggunaan dalam makanan sejak lebih 5000 tahun lalu. Pada ketika ini, minyak sawit muncul sebagai minyak pilihan oleh berbilion penduduk dunia. Lebih 150 negara di seluruh dunia memilihnya kerana sifat semula jadi, serba boleh dan ciri yang amat baik.

Artikel ini adalah terjemahan artikel Nature’s Best Kept Secret – Vitamin E Tocotrienols daripada www.mpoc.org.my. Sila layari laman web berkenaan untuk mendapatkan salinan asal artikel ini.

Petikan daripada Berita harian dan artikel daripada Dr Zubaidi Ahmad

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *